Gowmaz
#gpu #amd #nvidia

Harga GPU Bakal Naik Lagi? NVIDIA & AMD Naikkan Kos Memory, Tapi AMD Lebih 'Mahal'?

Harga GPU Bakal Naik Lagi? NVIDIA & AMD Naikkan Kos Memory, Tapi AMD Lebih 'Mahal'?

Harga GPU Bakal Naik Lagi? NVIDIA & AMD Naikkan Kos Memory, Tapi AMD Lebih ‘Mahal’?

Salam geng PC Master dan kaki gaming semua!

Hari ini saya nak sembang topik yang paling sensitif untuk kita semua iaitu harga GPU. Baru je kita nak rasa lega sikit tengok stok kad grafik makin stabil, tiba-tiba ada berita angin bertiup kencang mengatakan harga bakal melambung naik dalam masa terdekat.

Dan kali ini, puncanya datang dari “dapur” NVIDIA dan AMD sendiri.

Mengikut laporan dari Benchlife, pada 16 Januari lepas, NVIDIA secara rasmi telah memaklumkan kepada rakan kongsi AIC (Add-in Card) mereka bahawa harga pakej memori GDDR6 dan GDDR7 akan dinaikkan.

Tapi, sumber mengatakan kenaikan harga dari NVIDIA ni sebenarnya masih lebih rendah berbanding apa yang AMD umumkan kepada rakan niaga AIB mereka. Biar betul?

Kenapa Harga Naik Tiba-Tiba?

Sebelum ini, kedua-dua gergasi GPU ni berjanji nak “serap” kos kenaikan memori supaya harga kad grafik kekal mampu milik untuk kita. Tapi nampaknya, janji tinggal janji. Kos pengeluaran makin tinggi, jadi mereka terpaksa pass kos ni kepada pengeluar kad macam ASUS, MSI, Gigabyte, dan lain-lain.

Bila AIB kena bayar lebih untuk chip memori, korang rasa siapa yang kena tanggung kos akhir? Ya, betul… kita lah, pengguna akhir.

Walaupun NVIDIA dan AMD dilaporkan tidak mengubah MSRP (Harga Runcit Disyorkan) rasmi mereka, realitinya harga di kedai pasti akan berubah. AIB takkan jual rugi, jadi bersedialah untuk melihat tanda harga yang lebih “keras” di Low Yat atau Shopee nanti.

AMD Paling Terkesan?

Ini yang buat saya garu kepala sikit. Selalunya kita anggap NVIDIA ni barang kayangan dan AMD ni “pejuang rakyat” dengan harga bajet. Tapi laporan menyebut kos baru dari AMD kepada partner mereka adalah lebih tinggi berbanding NVIDIA.

Ini bermakna, kita mungkin akan nampak lonjakan harga yang lebih ketara pada kad grafik AMD Radeon, terutamanya siri RX 9000 yang akan datang. Ditambah pula dengan strategi AMD yang dikatakan lebih fokus untuk menghantar stok model high-end RX 9070 XT berbanding model mainstream RX 9070, nampak gayanya pilihan bajet makin menipis.

Bagi geng NVIDIA pula, walaupun kenaikan tu “lebih rendah”, jangan selesa sangat. Kita dah nampak harga siri RTX 50 yang premium tu pun dah mencecah harga dua kali ganda bagi sesetengah model high-end.

Kesimpulan: Nak Beli Sekarang atau Tunggu?

Sebagai seorang pemerhati dunia IT, nasihat saya mudah je. Kalau korang memang terdesak nak pakai PC atau GPU dah nazak, dan bajet dah ada di tangan. Mungkin ini masa terbaik untuk sambar apa yang ada sebelum stok baru dengan harga baru masuk pasaran.

Situasi ni agak ironi. Dulu kita lari ke AMD sebab nak jimat, tapi kalau betul laporan ni, margin harga antara dua jenama ni mungkin makin mengecil.

Apa pendapat korang? Adakah korang sanggup bayar lebih untuk frame rates, atau korang akan peram dulu duit tu sampai harga turun (kalau turun lah)? Komen kat bawah!